LIPIS – Sekumpulan tujuh ekor lembu mati dipanah petir ketika hujan lebat di Kampung Serunai, Mela dekat sini petang semalam.
Penternak lembu terbabit, Ab Lah Mat Isa, 69, berkata, ketujuh-tujuh ekor lembunya yang mati itu dianggarkan bernilai RM20,000.
Sebelum kejadian, beliau sudaha tidak sedap hati bimbang keselamatan ternakannya yang dilepaskan di sekitar kandang lebih lagi ketika hujan dan petir yang kuat berlaku.
“Ketika saya bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib, ketika itu hujan begitu lebat disusuli guruh dan petir yang kuat.
“Sebaik selesai solat Subuh pagi tadi, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kandang lembu saya telah memaklumkan kejadian lembu saya mati,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Ab Lah, setelah dimaklumkan, dia bergegas ke kandang ternakannya dan terkejut apabila menemui bangkai lembu ternakan bergelimpangan di dalam kandang.
“Kemungkinan tujuh ekor lembu yang mati dipanah petir itu berkumpul sambil berlindung di bawah pokok ketika hujan lebat dan petir.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku sejak sejak saya menternak lembu 20 tahun lalu,” katanya.
Katanya, laporan polis telah dibuat pagi tadi manakala Pejabat Veterinar di sini turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. – MalaysiaGazette