QUITO – Polis Ecuador menahan tujuh lelaki bersenjata yang menyerbu sebuah hospital dalam cubaan untuk membunuh seorang remaja yang sedang dirawat.
Anggota geng itu turut menjadikan jururawat sebagai tebusan dan berbalas tembakan dengan polis sebelum mereka ditahan.
Semua tebusan telah dibebaskan dan tiada siapa yang cedera, kata polis.
Geng berkenaan mensasarkan serangan seorang remaja lelaki, berusia 17 tahun yang dikenali sebagai “Dirty Face”, yang didakwa sebagai ahli kumpulan pesaingnya.
Remaja itu didakwa berada dalam hospital berkenaan kerana dalam rawatan rapi akibat terkena peluru.
Lelaki bersenjata itu didakwa menahan lima kakitangan tebusan selama lebih sejam, kata seorang pekerja kepada wartawan akhbar tempatan El Diario.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki berpakaian balaclava memegang pistol dan menolak seorang wanita yang menjerit melalui salah satu pintu keluar hospital sebelum mengheretnya kembali ke dalam bangunan.
Pekerja hospital yang lain berkata, mereka telah mengunci diri di dalam bilik tetapi lelaki bersenjata memecahkan pintu untuk mencari remaja tersebut.
“Mereka tidak tahu kedudukan hospital, nampaknya, dan itulah sebabnya geng-geng ini berkeliaran di seluruh hospital,” kata Homero Andrade, yang mewakili pekerja di hospital, kepada El Diario. – Agensi