SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.
Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama BN dengan PH bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan, minggu lalu.
“Tidak mustahil mungkin akan ada (kerjasama), tetapi ini semua terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan hala tuju BN di Selangor,” katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Keputusan itu dibuat selepas Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimennya yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersetuju untuk menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menjunjung titah YDPA untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Keputusan PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan tiada satu pun blok politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Rizam juga mengakui prestasi PN yang memperoleh 83 kerusi Parlimen dalam PRU15 boleh menjadi satu cabaran besar kepada BN dan PH berdepan dengan PRN Selangor akan datang.
“Sudah pasti PRU15 adalah suara rakyat yang akhirnya bersuara untuk menentukan sebuah kerajaan yang bakal dibentuk.
“Atas sebab itu BN sentiasa menerima segala keputusan dengan baik dan bagi kita ini adalah cabaran yang perlu sama-sama kita atasi.
“Saya yakin BN mempunyai rekod prestasi dan sejarah dalam mentadbir negara dengan begitu baik dan sudah pasti penglibatan BN dapat memacu kerajaan dalam melaksanakan segala dasar kerajaan dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette