Khairul Anwar Rahmat

KUALA LUMPUR – Cadangan Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima lagi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri boleh dilaksanakan.

Menurut Pengamal Undang-Undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat, penambahbaikan boleh dibuat terhadap proses pelantikan ahli JAC dengan meminda akta terbabit di Parlimen.

Jelas beliau, beberapa pengukuhan proses pelantikan boleh dimasukkan dalam akta tersebut supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.

“Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa perdana menteri perlu merundingi pihak-pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu menghormati kedudukan perdana menteri kerana beliau mempunyai legitimasi atau keabsahan kerana dipilih oleh rakyat.

“Sedangkan pihak-pihak yang dirundingi itu siapakah mereka? Adakah benar-benar bebas dan berkecuali dan apakah punca kuasa mereka,” katanya.

Khairul Anuar selanjutnya berkata, cadangan Majlis Raja-Raja itu memerlukan kajian yang mendalam.

Beliau menegaskan, cadangan tersebut wajar dirunding dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum dilaksanakan.

“Sementara kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan ini iaitu untuk mengurangkan pemusatan kuasa perdana menteri, perkara ini perlu diperhalusi oleh pengamal undang-undang keseluruhannya.

“Buat masa ini, secara pentadbiran, perdana menteri sebelum melantik Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim akan merujuk kepada beberapa Badan Kehakiman sama ada dari Semenanjung Malaysia serta dari Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan maklum balas.

“Perdana Menteri secara amalan pentadbirannya akan merundingi pihak-pihak di atas untuk mengelakkan tohmahan tidak baik terhadap ketelusan proses pelantikan hakim,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini dilihat mempunyai kelemahan, namun masih boleh diperbaiki.

Justeru, baginda bertitah, keanggotaannya adalah kritikal untuk memastikan JAC terus menjadi amalan dan pegangan semua berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

Untuk memastikan JAC bebas dalam tanggungjawab, baginda mencadangkan agar melaksanakan pelantikan lima ahli-ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ironynya US president boleh lantik supreme court judges walaupun ada pemisahan di antara executive and judiciary.

Comments are closed.