KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan memperkenalkan program Produktiviti Untuk Semua bagi industri perhotelan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti organisasi dan industri.
Program ini mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam amalan pengurusan hotel dan mencadangkan intervensi yang bersesuaian.
MPC memudah cara dalam melaksanakan cadangan intervensi penambahbaikan dengan sokongan penuh pihak pengurusan dan pekerja organisasi yang terpilih.
Projek rintis program Produktiviti Untuk Semua dilaksanakan dengan Rompin Beach Resort bagi mengenal pasti intervensi peningkatan produktiviti yang besesuaian dengan penginapan pelancongan bertaraf hotel bajet.
Hasil projek rintis ini menunjukkan bahawa penerimagunaan teknologi asas, mudah dan murah mampu meningkatkan kecekapan operasi dengan kadar 50%.
Antaranya, waktu menunggu tetamu ketika daftar masuk dan keluar berjaya dikurangkan dengan kadar 88%.
Impak besar dapat dilihat untuk proses daftar masuk yang mana masa urusan berkurangan kepada hanya 1.35 minit berbanding 11.8 minit sebelum intervensi dilaksanakan.
Bagi memastikan amalan berterusan intervensi, MPC mengguna pakai kaedah Behavioural Insights (BI) dengan dapatan projek rintis dengan Rompin Beach Resort dikongsi dengan penginapan pelancongan lain bagi menggalakkan lebih banyak hotel bajet menerimaguna teknologi dan digitalisasi walaupun hanya di peringkat asas.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Seman berkata, asas program Produktiviti Untuk Semua ialah setiap organisasi dan industri mempunyai amalan pengurusan dan operasi yang berbeza, begitu juga dengan isu dan cabaran yang dihadapi.
Oleh itu, intervensi peningkatan produktiviti hendaklah disesuaikan dengan ruang penambahbaikan yang dikenalpasti dalam memastikan setiap intervensi adalah bersesuaian untuk tujuan
MPC percaya bahawa setiap intenvensi melalui penerimagunaan teknologi dan digitalisasi, walaupun kecil dan hanya pada peringkat asas, boleh meningkatkan kecekapan operasi.
“Intervensi yang dicadangkan juga perlu melihat kepada faktor-faktor penting dalam organisasi dan industri itu sendiri. Antaranya keupayaan kewangan, kesediaan pihak pengurusan tertinggi dan pekerja, penggunaan sumber dan keadaan infrastruktur sedia ada.
”Paling utama, intervensi yang dicadangkan tidak seharusnya meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan tidak membebankan pekerja dan pelanggan. Ia hendaklah mudah, cepat, dan murah untuk dilaksanakan secara berterusan.
“Tumpuan juga diberikan dalam memupuk minda produktif di kalangan pekerja. Ramai yang masih tidak jelas mengenai apakah produktiviti di tempat kerja. Program ini memberi kesedaran dan kefahaman mengenai produktiviti dengan merujuk kepada rutin harian pekerja dan bagaimana rutin ini boleh menjadi lebih berkesan melalui sedikit perubahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette