Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), khusus kepada golongan suri rumah bermula esok, 1 Disember 2022.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berhadapan dengan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah faedah perubatan, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.

Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti elaun keuzuran, layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pncen penakat.

Ketua Eksekutif, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim ini merupakan pengiktirafan kepada penglibatan suri rumah dalam ‘Care Economy’ dan pembangunan institusi keluarga.

Pelaksanaan SKSSR, yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838), menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus buat golongan wanita, dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

Jelas beliau. skop “suri rumah” di bawah Akta 838 adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

Ia merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang – yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.

Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun, manakala tiada had umur minimum untuk mencarum.

”Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara ‘in advance’ bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah,” katanya.

“Caruman ini adalah secara sukarela namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing.

Malah mana-mana pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah, tambah beliau.

Di bawah SKSSR, aktiviti pengurusan rumah tangga tidak terikat dengan rutin seharian dalam rumah, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke temu janji doktor, membeli barang keperluan di pasar atau pasaraya dan sebagainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast