Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan banjir yang berlaku baru-baru ini tidak seburuk bencana yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana itu sehingga Januari tahun depan.

Ia termasuk memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mencukupi.

“Sebagaimana yang kerajaan negeri sebut sebelum ini, persiapan kita sentiasa lakukan kita sudah harungi beberapa banjir di beberapa kawasan, Alhamdulillah tidaklah begitu parah berbanding tahun lepas kita kena teruskan bersiap sedia untuk elakkan apa yang berlaku tahun lepas berulang.

“Saya percaya persediaan kita dengan PPS-PPS masih dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi sampai Januari nanti,” katanya ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Kata Amirudin lagi, kerajaan negeri mengekalkan kawasan panas yang sebelum ini disenaraikan sebagai lokasi banjir agar dapat mengambil langkah yang sepatutnya bagi menangani bencana alam itu.

Menurut Amirudin, antara lokasi panas yang dikenal pasti sebelum ini adalah Meru, Klang, Dengkil dan Sepang.

“Setakar ini kawasan-kawasan biasa ini memang dinaiki air tapi tidak terlalu lama hanya berlarutan dua tiga hari. Ia tidak berpanjangan sebagaimana tahun lepas,” tambahnya.

Sementara itu, Amirudin berkata, bantuan untuk 633 orang mangsa banjir baru-baru ini masih dalam proses untuk pengagihan.

Pada November tahun lalu, seramai 633 mangsa banjir daripada 147 keluarga di tempatkan di tiga PPS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast