SHAH ALAM – Selangor terus komited menangani isu perubahan iklim yang bukan sahaja melanda negara ini malah menjadi masalah peringkat global.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian berkata, semua negara kini termasuk di seluruh dunia mengalami masalah kejadian cuaca ekstrem lebih kerap, perubahan iklim monsun tidak menentu dan peningkatan paras air laut.
“Perubahan ini akan terus berlaku secara negatif dan akan mempengaruhi sistem biodiversiti sekiranya tidak diambil tindakan drastik.
“Oleh itu, adalah penting untuk Selangor terus komited dan agresif dalam menangani isu perubahan iklim dan ini merupakan keutamaan Selangor dalam Rancangan Selangor Pertama,” katanya pada sidang DUN di sini hari ini.
Loy Sian juga menambah, kerajaan negeri sentiasa menggiatkan usaha menangani isu global itu dengan pelbagai program pembangunan inisitif dijalankan menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.
Katanya, Pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Selangor 2030 akan menjadi satu dokumen rujukan kepada pihak berkepentingan dalam menangani isu itu.
“Bagi menangani isu ini, pelbagai platform dan jawatankuasa telah diwujudkan khusus untuk fokus kepada isu alam sekitar, di samping memantau nilai tambah sama ada negeri mahu pun PBT.
“Kerajaan Selangor akan melakukan penambahbaikan kepada pelan pembangunan negeri yang mengutamakan elemen perubahan iklim dan dasar negeri sedia ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette