Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited dalam mempercepatkan kajian ke atas kerangka perundangan pengurusan kandungan dalam talian.

Ia bagi menangani kandungan berbaur provokatif yang menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengerusi Interim SKMM,  Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, langkah itu perlu disegerakan selepas menyedari peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif di dalam talian.

“Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan-kandungan yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme dan palsu.

“Kajian ini meliputi kerangka kawal selia dalam aspek perlesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu,” kata dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, negara-negara serantau yang mengambil langkah perundangan drastik didapati berjaya menangani masalah kandungan siber yang mengancam keselamatan dan bersifat provokatif dengan mengenakan hukuman tegas dan setimpal.

“Mutakhir ini, perkembangan serantau menunjukkan negara-negara seperti Indonesia, Singapura, dan Australia telah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial agar mereka lebih bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kandungan yang mengancam.

“Kesemua langkah berkenaan bertujuan untuk menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian.

“Sesungguhnya Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian dari segi etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa,” ujar beliau.

Menurut Mohamad Salim, semua pihak perlu menghormati dan menerima kepelbagaian keterangkuman, perasaan hormat kepada kaum, agama dan institusi Raja dan ia boleh dicapai dengan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast