KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) turut mengambil inisiatif menawarkan pembiayaan perumahan-i Al-Amali berkonsepkan Murabahah Tawarruq dengan jumlah dan had pembiayaan mencecah sehingga RM10 juta.

Bank koperasi itu berkata, ia antara usaha CBP untuk membantu orang ramai memiliki rumah dengan kadar serendah 3.25 peratus dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

“Jenis pembiayaan yang kami tawarkan termasuklah dalam kategori rumah siap, dalam pembinaan dan lelongan

“Tidak ketinggalan kategori yang ditawarkan merangkumi pembiayaan semula baki pembiayaan rumah dan mencagar semula rumah,” kata CBP menerusi satu kenyataan.

Menerusi kenyataan itu lagi, CBP menawarkan pembiayaan perumahan ini khusus untuk warganegara Malaysia.

“Mereka yang memohon termasuklah yang bekerja sendiri atau berniaga dan dapat membuktikan pendapatan bulanan yang kukuh dan stabil.

“Umur pemohon juga adalah tidak kurang dari 18 tahun semasa permohonan dan tidak melebihi 70 tahun pada tarikh tamat tempoh pembiayaan.

“Selain itu mereka yang mahu memohon tiada rekod muflis atau bankrap atau mempunyai rekod dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka perlu mempunyai rekod baik dengan bank atau mana-mana institusi kewangan,” kata CBP.

Kata CBP lagi, permohonan secara bersama adalah dibenarkan dengan bilangan pemohon tidak melebihi dua orang.

“Dengan syarat pemohon juga mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan yang terdekat,” kata CBP.

CBP turut memberi pengecualian secara tangguhan menerusi tempoh diperuntukkan bagi pembelian rumah dalam pembinaan yang syarat pengeluaran adalah secara berperingkat-peringkat.

“Justeru, pelanggan dikehendaki membayar keuntungan bulanan sebenar sahaja semasa dalam tempoh tangguhan mulai bulan pertama pengeluaran dibuat sehingga ke bulan pengeluaran terakhir atau tamat tempoh tangguhan yang mana terdahulu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan produk perbankan yang ditawarkan boleh berkunjung ke 29 buah cawangan CBP di seluruh negara atau layari www.cbp.com.my.

Laporan PropertyGuru sebelum ini menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri, termasuk menerusi skim perumahan yang ditawarkan kerajaan disebabkan pelbagai faktor yang menjurus kepada aspek kewangan.

Walaupun kerajaan berhempas-pulas membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman sendiri menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian cukai keuntungan hartanah (RPGT) bagi hartanah melebihi lima tahun, sebenarnya ia masih tidak mencukupi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast