KUALA LUMPUR – DAP menjelaskan parti dan ahli akar umbinya menerima kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setiuasaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP setuju dengan kerjasama itu dan bukan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid seorang sahaja.
“Ini bukan hanya mengenai Ahmad Zahid, ini adalah Kerajaan Perpaduan yang turut disertai BN. Itu prinsip yang semua orang dalam DAP faham, kita kerjasama dengan BN,” katanya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Kabinet di Istana Negara hari ini.
Anthony berkata demikian mengulas mengenai pertanyaan media mengenai pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri biar pun beliau kini menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Turut hadir adalah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, dua mesyuarat dibuat oleh beliau dengan kepimpinan DAP dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan juga 40 ahli Parlimen pada 20 dan 22 November lalu mengenai kerjasama berkenaan.
Ditanya mengenai keberadaan Ahmad Zahid dalam Kabinet, Anthony berkata, perkara itu harus diletakkan di tangan mahkamah untuk diputuskan.
Jelasnya, DAP tidak akan menyentuh mengenai kes yang dihadapi oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
“Itu terpulang kepada mahkamah (untuk tentukan kes Ahmad Zahid), kita hanya bincangkan agenda negara bukan kes masing masing.
“Ia tak akan disentuh dan dibincang kes peribadi masing-masing, hanya agenda untuk rakyat dan negara. Itu pendirian kita,’” jawab Anthony.
Anthony dalam pada itu berkata, DAP tidak meletakan sebarang syarat dalam menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pihaknya juga tidak memberikan syarat agar satu-satu kementerian diberikan kepada DAP dalam pembentukan Kabinet.
“Tak ada syarat adalah dari segi komposisi untuk DAP. Kita bagi sokongan kepada PM, tak kata, saya mesti jadi menteri itu dan ini. Tak pernah sebut nak balik Kementerian Pengangkutan.
“Tidak sama sekali, seperti kerajaan PH terdahulu, DAP pegang Kementerian Kewangan. Tak ada syarat itu kalau Anwar nak sokongan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette