MELAKA – Seorang wanita berstatus isteri orang sanggup mengaku kononnya sudah bercerai demi menutup aibnya ditahan bersekedudukan dengan kekasihnya yang juga sudah berkahwin.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, tembelang wanita berusia 37 tahun itu terbongkar selepas pemeriksaan nombor kad pengenalannya secara dalam talian mendapati dia masih berstatus isteri orang.
Menurutnya, ketika serbuan pukul 12.40 pagi, wanita itu mendakwa dia sudah bercerai empat tahun lalu manakala kekasihnya berusia 40 tahun pula mengaku sudah berkahwin namun dalam proses penceraian.
“Terdahulu, lelaki terbabit cuba bertindak keluar dari bilik hotel berkenaan selepas menyedari kehadiran sepasukan penguat kuasa JAIM yang membuat serbuan di beberapa buah bilik hotel di Ujong Pasir itu.
“Bagaimanapun hasil kecekapan penguat kuasa, kami meminta lelaki itu pulang ke biliknya sebelum mendapati seorang wanita berada di dalam dan apabila ditanya kedua-dua mereka gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai operasi yang turut disertai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri, Akmal Nadzim Abdullah berakhir pukul 3 pagi tadi.
Menurut Che Sukri, wanita itu pada mulanya mendakwa teman lelakinya itu hanya datang melawatnya.
“Namun berdasarkan semakan dalam talian, didapati wanita berkenaan masih dalam ikatan perkahwinan yang sah dengan suaminya,” katanya sambil menambah pasangan itu dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Sabit kesalahan katanya, mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.