MU Raja

KUALA LUMPUR – Kenapa tidak ada seorang pun ahli Parlimen dari PKR berbangsa India menjadi menteri dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Yang ada hanya Sivakumar Varatharaju dari DAP telah dilantik menjadi Menteri Sumber Manusia.

Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Pusat Parti Bersatu, MU Raja hairan dan menyindir ia seolah-olah tidak ada seorang pun wakil bangsa India dari PKR yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

MU Raja yang juga bekas pemimpin PKR sebelum ini pelik kerana Pakatan Harapan (PH) juga memiliki pemimpin dan ahli yang ramai dalam komuniti itu.

“Jika anda tengok sendiri dalam laman sosial dibanjiri persoalan mengapa tiada wakil pemimpin India? Ini kerana pada awalnya nama Sivakumar tercicir ketika Anwar membuat pengumuman tetapi walaupun selepas senarai nama yang tertera nama Sivakumar dikeluarkan, ramai masih kecewa.

“Dalam PKR sendiri ramai pemimpin India yang layak diangkat menjadi menteri penuh. Mengapa langsung tidak diberi peluang? Yang berikan kemenangan ini kepada PH juga datangnya dari undi kaum India. Hampir 90 peratus.

“Bukan hendak bersikap perkauman tetapi rasanya ini memang tidak adil langsung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, pemerhati politik, Azizi Safar juga hairan kenapa  tidak ada wakil MCA atau MIC dalam barisan Kabinet pimpinan Anwar.

“Enam orang menteri dari BN dalam Kabinet kerajaan campuran pimpinan Anwar tetapi tiada wakil MCA atau MIC.

“Kenapa? Hanya seorang sahaja menteri wakili kaum India dalam Kabinet, itu pun Anwar tidak sebut semasa pengumuman. Macam tak lama sahaja jangka hayat Kabinet ini,” tulisnya dalam Facebooknya.

azizi safar
Azizi Safar

Dalam pada itu, seorang sumber tertinggi PH memberitahu, untuk jawatan timbalan menteri sememangnya sudah ada beberapa wakil dalam kalangan kaum India dan akan diumumkan kelak.

“Memang ada beberapa nama yang akan dilantik untuk jawatan timbalan menteri. Harap bersabar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast