KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara selepas hampir tiga jam menyaksikan Istiadat mengangkat sumpah jawatan jemaah Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong di sini hari ini.
Kenderaan yang membawa Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diihat meluncur keluar dari pintu satu pukul 5.43 petang.
Anwar dan Wan Azizah turut melemparkan senyuman serta melambai kepada petugas media yang melaporkan perkembangan terkini sejak pukul 2 petang tadi.
Sejurus selepas itu, kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof juga dilihat keluar dari pintu yang sama.
Selang beberapa minit, kenderaan yang membawa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang muncul kira-kira pukul 5.53 petang.
Ahmad Zahid dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis turut melambai dan melemparkan senyuman kepada petugas media.
Seramai 28 menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar perdana menteri .
Istiadat angkat sumpah pelantikan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette