Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tiga, kanan) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan rampasan dadah disyaki syabu pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini.

KUALA KRAI – Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri berusia 26 dan 28 tahun bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung Batu Jong, di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan terbesar tahun ini itu dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ketika menjalankan rondaan pada 8 pagi.

“Anggota bertindak menahan kenderaan dinaiki pasangan warga tempatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut polis menemukan 11 guni yang setiap satu mengandungi 24 bungkusan dibaluti dengan kerajang aluminium bertulis ‘Guanyingwang’ disyaki dadah jenis syabu.

“Kesemua dadah yang dirampas seberat 264 kilogram dianggarkan bernilai RM9,504,000 dipercayai untuk pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang ditahan mengambil upah RM5,000 untuk satu perjalanan bagi membawa bekalan dadah tersebut sebelum kenderaan yang dinaiki mereka akan ditinggalkan di satu kawasan lain sebelum diambil individu lain.

“Pasangan suami isteri didapati tiada rekod jenayah lampau. Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Dis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast