KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin mengingatkan Rafizi Ramli berhubung kenyataan Timbalan Presiden PKR itu pada pada 16 September 2015 mengenai Perdana Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan.
Beliau berkata, Rafizi pasti tidak lupa dengan hantarannya dalam akaun Facebooknya yang memaklumkan telah memfailkan satu Rang Undang-Undang Persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.
Katanya, di bawah Janji 12 dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRU14 disebut bahawa “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan Menteri lain terutamanya Menteri Kewangan.
Selain itu, menurut Radzi, rakyat juga tentu masih ingat ucapan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dalam ceramahnya:
“Menteri Kewangan, Najib. Perdana Menteri, Najib. Bila 1MDB tak cukup duit sebab dah belanja mewah semua, nak minta duit kepada Menteri Kewangan.
“Najib minta kepada Najib. Najib kata nanti, aku bincang dulu dengan Perdana Menteri, Najib. Setelah Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat kepada Najib. Kalau inilah corak pemerintahan kita, gunung emas, gunung intan pun habis dibelanja. Yang susah rakyat dan tuan-tuan”.
Kata Radzi, pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.
Malah, kata beliau, rakyat yang memahami mengenai tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju.
“Perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah untuk mempunyai satu sistem tadbir urus yang mantap dan kukuh. Sistem ini akan dapat melindungi dan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhanya dengan cekap.
“Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan maka tiada lagi fungsi semak dan imbang,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri terakhir menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.
Bahkan, tiga Perdana Menteri itu tidak memegang sebarang portfolio menteri kerana jika mereka berbuat demikian, ia tindakan terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.
“Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) banyak bercakap mengenai perkara yang terlalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.
“Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.
“Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” soalnya. – MalaysiaGazette