Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Selepas lama menyepikan diri, bekas Menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim mengucapkan tahniah atas ‘perkahwinan’ antara UMNO-BN dan DAP.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk Putrajaya menukar nama mereka daripada Kerajaan Perpaduan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) – UMNO.

“Kerajaan Perpaduan ini patut ditukar kepada kerajaan PH/UMNO@UMNO/DAP.

“Walau bagaimanapun tahniah UMNO sudah berkahwin dengan DAP. Selamat Pengantin Baru!,” ucap Shahidan dalam media sosialnya.

Ahli Parlimen Arau yang menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini menyifatkan keputusan UMNO-BN untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan yang mengecewakan akar umbi UMNO dan orang Melayu.

Beliau turut berkata, tindakan itu juga mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang tegas menyatakan bahawa tiada kerjasama akan dijalinkan dengan Anwar dan DAP.

Dalam pada itu, Shahidan terkilan dengan tindakan meminggirkan wakil Sabah dalam senarai Kabinet pimpinan Anwar.

“Saya sedih kerana Sabah dipinggirkan dari Kabinet Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Kenyataan itu ekoran keluhan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengakui rasa “terpinggir” dalam pembentukan jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan berikutan tiada seorang pun daripada tujuh ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri.

Bung Moktar berkata, hanya dua menteri yang mewakili negeri itu iaitu masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sahaja yang menganggotai Kabinet.

Malam tadi, Anwar mengumumkan barisan jemaah menteri yang terdiri daripada 28 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dari GPS.

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (PH-UPKO) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak). – MalaysiaGazette