KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan menyifatkan ia kemenangan bagi sebuah perjuangan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pelantikan itu juga sebagai permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan nombor dua kerajaan.
“Tiada kata selain ucapan penuh syukur ke hadrat Allah Maha Esa atas takdir ini.
“Ia bukan kemenangan sebuah perjuangan, namun satu permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Selain Ahmad Zahid yang turut memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahli Parlimen Petra Jaya dari Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof turut dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Menurut Presiden UMNO itu, beliau mengikuti pengumuman Kabinet Malaysia oleh Anwar bersama keluarga, sahabat dan saf kepimpinan tertinggi parti di Yayasan Al Falah Country Height.
Beliau juga mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan ikhlas dari semua pihak. – MalaysiaGazette