BANGKOK – Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China sebelum akhir bulan ini, kata penolong ketua polis Thailand, Lt Jen Surachate Hakparn.

Walaupun polis Malaysia juga meminta Teow dihantar pulang, Surachate berkata “tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Teow di Malaysia”.

Beliau berkata, polis Thailand menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

“Kami berusaha (ekstradisi Teow) selama lebih sebulan. Kami mengemukakan permintaan kepada Peguam Negara. Sebaik selesai, Teow akan dihantar pulang ke China sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan yang diburu Malaysia Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

Pada 22 Julai, Teow pengasas Kumpulan MBI ditahan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan dan sejak itu dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

Malaysia dan China memburu Teow. China difahamkan merupakan negara pertama yang meminta Teow diekstradisi.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat berikutan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai hampir RM100 juta.

Pada 25 Julai lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pasukan itu dalam proses memohon Teow dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Teow menjadi tajuk utama di Thailand. Pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta dalam skim pelaburan – Island Red Café.

Pada 2017, pihak berkuasa Malaysia membekukan sejumlah 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI International.

Pada 2019, ratusan warga China mengadakan bantahan secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur mendakwa mereka ditipu skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI.

Tahun lepas, polis berkata, Teow dan dua anak lelakinya terlibat dalam skim penipuan Macau melibatkan RM336 juta.

Bagaimanapun, polis percaya Teow telah melarikan diri ke negara itu dan bersembunyi di Dannok, Sadao, selatan Thailand. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast