KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) harus ditubuhkan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion semasa pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat agar rakyat tahu sama ada wang berbilion ringgit itu dimanfaatkan atau sebaliknya.
“Dalam bulan depan, kita nak tanya Muhyiddin dia, nak buat RCI untuk menyiasat RM600 bilion duit rakyat pergi mana, itu kita nak buat dulu,” katanya ketika berucap di PDM Pianggu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman semalam.
Beliau berkata, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri perlu menjawab persoalan itu jika beliau mahu membersihkan namanya daripada dakwaan berkenaan.
“Dulu dia (Muhyiddin) kata kita (BN) sakau RM2.6 bilion tapi Muhyiddins sakau RM600 bilion, tidak tahu di mana RM600 bilion.
“Masa kita nak tanya ini dia tutup Parlimen. Tuan-tuan dan puan tidak mahu tahu ke mana duit ini?,” tambah beliau.
Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara, Sany Hamzan menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette