APMM Pulau Pinang menahan enam warga asing susulan kendalikan bot nelayan tempatan.

GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) yang didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa permit sah.

Kesemua mereka ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan rutin Op Tanjung pada kedudukan 42 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini, pada jam 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu mendapati ia dikendalikan lima warga Myanmar dan seorang tekong warga Thailand.

“Bot serta kesemua kru berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun itu ditahan selain hasil laut dianggarkan berjumlah 500 kilogram (kg) dirampas sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan lanjut.

Bot turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak mengingatkan semua pihak terutamanya komuniti nelayan serta pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast