Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas hari pertama beliau memulakan tugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 05 DECEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu penyebaran maklumat palsu dan kandungan yang bersifat ekstrem.

Katanya, perbincangan berkenaan bakal merangkumi kawal selia yang perlu dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan media sosial dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Saya percaya selepas saya mengadakan pertemuan dengan beberapa penyedia perkhidmatan media sosial termasuk TikTok selepas ini, saya akan dapat faham apakah yang menjadi mungkin sedikit sebanyak isu terutama dari segi kawal selia dan saya harap semua pemain atau penyedia perkhidmatan media sosial akan sangat prihatin tentang undang-undang dalam negara kita dan keperluan untuk sentiasa menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat .

“Saya berharap mereka akan dapat membantu ke arah usaha ini,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil menjawab panggilan daripada Pejabat Perdana Menteri ketika bercakap pada sdang media seleps hari pertama beliau memulakan tugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 05 DECEMBER 2022.

Terdahulu, Fahmi  berkata, isu penyebaran maklumat palsu dan ekstrim menjadi kebimbangan dan tumpuannya sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.

“Saya risau tentang masalah yang kita hadapi dalam media sosial pada waktu ini terutama penyebaran maklumat palsu atau konten yang agak ekstrem dan melampau. Ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa menteri dalam mesyuarat khas Kabinet pagi tadi,” tambahnya.

Beliau turut memberikan contoh kandungan video menerusi aplikasi TikTok yang disebarkan baru-baru ini yang menyentuh insiden 13 Mei 1969.

Fahmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Komunikasi  Digital hari ini dengan menerima taklimat daripada kakitangan tertinggi kementerian berkenaan.

Taklimat berkenaan berlangsung selama lebih kurang dua jam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast