BATU PAHAT – Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Muhammad Faris Abdul Hadi, 24 dan graduan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Khoo Chun An menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-22 Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).
Faris yang juga merupakan penerima Anugerah Khas Alumni melahirkan rasa syukur kerana berkat kesungguhan, kesabaran dan doa daripada ibu bapanya selama ini, akhirnya melayakkan dia naik ke pentas menerima dua anugerah tersebut.
Menurut Faris, untuk sampai ke hari ini banyak yang perlu dikorbankan termasuklah perlu menjimatkan wang saku untuk kelangsungan hidup, perlu bersabar menghadapi kuliah secara dalam talian akibat Covid-19 dan terpaksa menahan rindu terhadap keluarga kerana tidak dapat pulang ke kampung.
Menurut Faris, sejak pertama kali dia menjejakkan kaki ke UTHM pada Jun 2016, dia berazam untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
”Kehidupan saya di universiti dipenuhi dengan aktiviti meningkatkan nilai tambah dalam diri terutama berkaitan kepimpinan.
”Saya pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTHM bagi sesi 2020/2021. Lantikan tersebut menjadi satu pengalaman yang terindah dalam hidup saya kerana menjadi pemimpin pelajar peringkat universiti merupakan impian saya sejak dahulu lagi.
”Akan tetapi, tugas hakiki sebagai seorang pelajar tidak pernah saya abaikan termasuklah tugasan yang diberikan oleh para pensyarah walaupun banyak masa saya dikorbankan untuk menjaga kebajikan para pelajar,” katanya.
Sementara itu, Khoo Chun An, 24 graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) pula turut berkongsi tip untuk cemerlang dalam pelajaran.
Menurut Chun An, ibu bapanya pernah kecewa kerana tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi satu ketika dulu.
Kedua-dua mereka mahu mengubat kekecewaan tersebut dengan melihat dia dan adik beradik yang lain berjaya dalam pelajaran sekali gus dapat membina kerjaya yang baik satu hari nanti.
”Sebab itulah saya nekad mendalami ilmu sains dan matematik dengan apa jua cara untuk meraih keputusan yang cemerlang setiap semester.
”Saya akan memberi perhatian sepenuhnya dalam kelas dan bertanya pensyarah jika tidak memahami sesuatu topik dan suka menyediakan nota kecil untuk membantu saya mengingat perkara-perkara penting.
”Manakala untuk kerja kursus secara individu atau berkumpulan, saya akan memberi komitmen penuh untuk mendapat markah yang baik,” katanya.
Tambah Chun An, kadangkala dia dan rakan-rakannya mencuri masa untuk belajar bersama-sama bagi memastikan mereka menguasai topik sebelum hadir ke kuliah seterusnya.
Selain cemerlang dalam pelajaran, anak kelahiran Johor Bahru ini juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan peringkat universiti dan antarabangsa.
Hasilnya dia pernah memenangi pingat emas dan perak di pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi peringkat antarabangsa dan hadiah utama di peringkat kebangsaan.
Chun An juga turut menjawat beberapa jawatan dalam kelab dan program anjuran fakulti dan universiti yang disertainya.
”Saya berharap ibu bapa saya bangga dan gembira dengan pencapaian saya hari ini, seterusnya dapat membina kecemerlangan dalam kerjaya pula nanti,” kata Chun An, graduan cemerlang FAST.
Kedua-dua graduan cemerlang tersebut sempat menitip pesanan kepada bakal graduan supaya tidak mensia-siakan masa yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah.
Tambah mereka selain menuntut ilmu, kemahiran insaniah diri juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan keperluan dan kehendak pasaran industri. – MalaysiaGazette