PUTRAJAYA – Penggabungan dua portfolio Kementerian Air dan Sekitar (KASA) dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) diakui menjadi satu cabaran besar kepada Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau yang kini menggalas jawatan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagaimanapun komited untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul khususnya melibatkan air dan tenaga.
“Kita tahu itu adalah isu-isu yang agak besar dan mungkin orang tak sedar air dan tenaga perkara yang besar juga termasuk dalam portfolio ini.
“Jadi beban kerjanya besar, jadi kita akan pergi satu demi satu tengok apa isu-isu yang mendesak untuk setiap portfolio tersebut yang kita akan cuba bawakan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Terdahulu Nik Nazmi mengimbas kad perakam waktu ketika memulakan tugas hari pertama di kementerian itu di Wisma Sumber Asli di sini kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Dalam pada itu, isu perubahan iklim dan banjir bukan sesuatu yang asing bagi dirinya kerana pernah mengutarakan perkara itu sebelum dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
“Saya ingat perkara ini jadi orang sudah benar-benar prihatin. Kalau dulu orang mungkin bercakap sahaja tanpa memahami impak, sekarang kita tengok impaknya.
“Perkara itu memang jadi permintaan untuk orang ramai supaya ia ditangani oleh pihak kerajaan. Ia tidak hanya satu slogan tetapi sesuatu yang kita kena ambil tindakan dengan serius,” katanya.
Ditanya tentang perkara pertama yang beliau akan lakukan selepas menerajui kementerian itu, Nik Nazmi meminta sedikit masa untuk mendapat taklimat mengenai perjalanan dan portfolio beliau sebelum membuat sebarang komitmen.
“Bagi saya dapat taklimat dahulu, selesaikan dahulu isu-isu yang mendesak dan apa-apa pengumuman lanjut kita akan buat nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette