Anggota polis memeriksa mayat seorang ibu tunggal yang ditemui mati luar sebuah hotel di pusat bandar Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Seorang ibu tunggal maut dipercayai terjun dari tingkat 12 sebuah hotel di pusat bandar Melaka di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima laporan kejadian terhadap wanita berusia 55 tahun itu pada pukul 10.45 pagi tadi.

Berdasarkan maklumat awam, seorang wanita ditemukan berlumuran darah di bahagian kepala di atas jalan luar hotel berkenaan di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya.

“Sebaik pegawai penyiasat tiba di lokasi mendapati satu mayat wanita lengkap berpakaian ditemukan tertiarap bahagian belakang hotel berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel mendapati, si mati memasuki hotel pukul 10.23 pagi sebelum naik ke tingkat 12 tanpa mendaftar sebagai tetamu.

“Selepas lima minit menaiki lif, si mati dipercayai bertindak terjun dari tingkat 12 bangunan melalui ruang koridor bilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

Tambah Christopher, siasatan awal mendapati wanita beralamat di Taman Tanjung Minyak Utama itu mempunyai seorang anak dan telah bercerai sejak 12 tahun lalu.

“Si mati yang merupakan bekas jurujual produk kecantikan juga dipercayai mempunyai masalah kewangan dan tidak bekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast