Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menunjukkan buah-buahan tempatan sebagai tanda salah satu daripada jawatannya di dalam kementerian yang disandang ketika memulakan tugas rasmi di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta harga yang munasabah menjadi fokus utama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau yang lebih dikenali panggilan Mat Sabu berkata, isu bekalan makanan dengan harga berpatutan memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia merosot tahun depan.

Beliau berkata, ia adalah lapangan baharu dan cabaran yang tidak pernah dihadapinya kerana sebelum ini menjadi Menteri Pertahanan yang lebih banyak terlibat dalam soal keselamatan tetapi kini bidang kehidupan manusia melibatkan makanan dan keperluan harian.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah akan mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala benda yang tersedia, diteruskan dan benda baharu akan dibincang bersama pegawai yang sememangnya berpengalaman.

“Saya akan lihat soal harga makanan terutama telur kerana dari golongan miskin sehingga atasan makan telur… Di samping isu ikan dan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi mengetip kad perakam waktu Menteri sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini.

Menurut Mohamad, pihaknya akan mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku melalui taklimat dalam mencari kaedah terbaik terhadap langkah keterjaminan bekalan makanan.

“Bagi saya apa keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri.

“Selepas saya mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dibuat,” ujarnya.

Ditanya sama ada isu kekurangan bekalan keperluan asas tidak berulang lagi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak boleh memberi jaminan kerana ia bergantung kepada ekonomi dunia.

“Lihat sahaja peperangan antara Ukraine dan Russia yang sememangnya tidak dijangka akan berlaku dan akhirnya memberi kesan kepada baja dan sektor pertanian negara.

“Bagaimanapun, saya bersama pegawai kementerian ini akan mencari jalan untuk cuba mengatasi dengan cara terbaik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast