Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Pemulihan ekonomi asas negara adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menggubal strategi perniagaannya untuk keteguhan jangka pendek, di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dari aspek pelaburan KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh dikawal iaitu peruntukan aset, kos, dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan alokasi aset strategiknya.

”Walaupun ketidaktentuan pasaran global terus menjadi kebimbangan, kami mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro seperti kemungkinan kemuncak inflasi global dan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2022 Malaysia, yang meningkat sebanyak 14.2% berbanding 8.9% pada suku kedua, disusuli dengan lonjakan kukuh dalam pasaran buruh.

Menurut beliau, pemulihan ini menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan, dan pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas.

Jelasnya, ekonomi asas telah pulih daripada pandemik, seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan positif dalam FBMKLCI sejak September. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast