MELAKA – Seorang pekerja lelaki sebuah restoran asam pedas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merakam gambar pelanggan membuang air kecil mengggunakan telefon bimbit bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Azizi Hazim Kamarudin, 18, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas pesalah muda itu kerana menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didapati telah mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan cara merakam gambar mangsa ketika sedang buang air kecil di sebuah restoran tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit.
Kesalahan itu dilakukan di restoran berkenaan di Jalan PM3, Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah di sini pada kira-kira pukul 3.35 petang pada 14 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh atas perbuatannya yang menjurus untuk mengaibkan mangsa dan mencadangkan jaminan RM8,000.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain telah insaf atas perbuatannya itu.
Anak guamnya juga, menurutnya, adalah pesalah muda yang berkerja di restoran itu dengan pendapatan RM350 seminggu dan perlu menyara kedua ibu bapanya.
Majistret Mazana Sinin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak JKM. – MalaysiaGazette