Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM301.2 juta, iaitu 3.7 kali lebih tinggi daripada RM81.9 juta sebelumnya.

Dagangan minggu lalu dipendekkan selama empat hari di Bursa Malaysia berikutan cuti umum pada hari Isnin yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MIDF Research berkata, pelabur asing mengambil untung selepas kenaikan mendadak barometer FBM KLCI pada minggu sebelumnya apabila Anwar dinamakan Perdana Menteri, jualan bersih setiap hari minggu ini kecuali pada hari Khamis, apabila mereka bersih membeli RM77.7 juta.

Jualan bersih paling ketara pada hari Jumaat pada RM292.8 juta kerana ketidaktentuan pengumuman barisan Kabinet, yang akhirnya dimaklumkan pada malam sama.

Pelabur asing menjual RM10.7 juta pada hari Selasa dan RM75.4 juta hari Rabu.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah teknologi pada RM72.8 juta, utiliti pada RM40.3 juta dan pembinaan RM39.4 juta.

Sementara itu, tiga sektor dengan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan pada RM153.5 juta, penjagaan kesihatan RM128.1 juta dan produk perindustrian & perkhidmatan RM101.5 juta.

Pelabur institusi mengambil peluang membeli di tengah-tengah situasi politik yang lebih stabil dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mereka bersih membeli RM431.2 juta minggu lepas, tertinggi sejak minggu berakhir 30 September 2022 pada RM669.2 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, mereka memulakan jualan bersih sebanyak RM10.7 juta sebelum bertukar menjadi pembeli bersih untuk baki hari, merekodkan belian bersih paling kukuh pada hari Jumaat sebanyak RM301.5 juta.

Peruncit tempatan bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu itu, membalikkan aliran belian bersih selepas dua minggu dengan jualan bersih RM130.1 juta.

Mereka bersih membeli RM21.4 juta pada hari Selasa sebelum bertukar menjadi penjual bersih dari hari Rabu ke Jumaat.

Jualan bersih tertinggi adalah pada Khamis sebanyak RM128.4 juta.

Pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 48 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.53 bilion.

Pelabur institusi menjadi penjual bersih selama 32 daripada 48 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.57 bilion.

Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 30 daripada 48 minggu.

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM2.04 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing dan institusi tempatan, masing-masing sebanyak +61.6% dan +7.6% manakala pelabur runcit susut 10.5%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast