Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan

KOTA KINABALU – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini menyatakan hasrat untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) namun pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat kemudian, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, tindakan itu dibuat kerana melihat STAR, yang menyokong Kerajaan Perpaduan masa ini, sudah tidak sehaluan dengan PN.

“Ya (keluar PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau (awak) pergi sini saya pergi sana bererti tidak sehaluanlah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 hari ini.

Pada 26 November lepas, Kitingan berkata STAR mengambil pendirian yang sama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu katanya, PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.

GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional, terdiri daripada UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast