Penternak tidak menerima subsidi telur sejak awal tahun.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan segera.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa sukar mendapatkan bekalan telur sejak dua bulan lalu.

Katanya, keadaan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan sumber protein termurah berkenaan pada masa hadapan.

Mohideen.

 “Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih terdapat di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.

“Bagaimanapun, peniaga runcit mendakwa sukar bagi mereka mendapat bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang berbanding peniaga di pasar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur segar gred rendah sebagai telur premium.

“Kita mendapati ada peniaga yang menjual telur Gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) dengan harga 66 sen sebiji, sedangkan harga telur Gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji dan Gred B (43 sen).

“Sehubungan itu, CAP menggesa KPDNKSH menyiasat perkara ini kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast