KUALA LUMPUR – Cabaran sukar mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian semasa pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat graduan cacat penglihatan, Thew Ming Soon untuk menggenggam ijazahnya hari ini.
Graduan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial mengakui mengambil masa untuk membiasakan diri dengan sistem dan aplikasi dan bersyukur kebanyakan aplikasi mudah digunakan.
Ming Soon yang berasal dari Johor berkata, antara motivasinya untuk tamatkan pengajian dengan cemerlang ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membantu keluarga.
“Kepada pelajar-pelajar kurang upaya yang sedang melanjutkan pengajaran untuk tidak berputus asa dan percaya kepada rezeki kerana sememangnya selagi ada usaha, akan ada peluang dan rezeki untuk berjaya,” pesan Ming Soon pada majlis Konvokesyen Ke-62 Universiti Malaya.
Universiti Malaya meraikan 7,863 graduan tahun ini dalam 15 sidang bermula semalam hingga 12 Disember 2022.
Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-62 disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang juga Canselor, Universiti Malaya. – MalaysiaGazette