KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd (Proton) berjaya mencatat jualan sebanyak 126,682 unit setakat tahun ini iaitu 10.4 peratus lebih tinggi berbanding 114,708 unit jualan bagi keseluruhan 2021.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata, November terbukti menjadi bulan penuh peristiwa bagi Proton apabila pengeluar kereta nasional itu mengalami isu bekalan sementara yang menyebabkan jualan susut sebanyak 13.1 peratus kepada 11,316 unit berbanding Oktober.
“Kami yakin dapat memperbetulkan semula keadaan pada Disember dan mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan jualan bagi tahun keempat berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Proton telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 150,000 unit bagi 2022.
Roslan berkata sejajar dengan pengenalan model baharu yang dirancang untuk 2023, Proton berharap dapat meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia dengan mencatat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport.
Dalam pada itu, Proton baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember lepas.
Pencapaian tersebut hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas pengeluaran unit pertama pada April tahun ini.
“Barisan enjin baharu Proton ini menjadi bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat.
“Pada 2023, kami menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 enjin yang akan digunakan dan merentasi beberapa model Proton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong. – BERNAMA