KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa sukacita atas kejayaan kerjasama sulung antara syarikat pengeluar minyak dan gas negara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kerjasama Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) itu secara langsung mengiktiraf dan sekali lagi membuktikan keupayaan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global.
“Selain itu, kejayaan kerjasama antara syarikat gergasi pengeluar minyak dan gas negara dan Abu Dhabi itu juga secara langsung mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE di pelbagai peringkat, termasuk antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara dan hubungan sesama rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar kerjasama itu akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara, termasuk sektor ekonomi demi kepentingan dan kemakmuran bersama.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah telah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd dan ADNOC di Abu Dhabi, semalam.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Tengku Muhammad Taufik serta barisan kepimpinan tertinggi PETRONAS dan ADNOC.
Al-Sultan Abdullah kini dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari sehingga 7 Dis atas persilaan peribadi Presiden UAE, sekali gus lawatan kelima Seri Paduka ke Abu Dhabi sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.
Sebelum ini, Seri Paduka telah berkenan berangkat ke Abu Dhabi bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Mohamed atas pelantikan sebagai Presiden UAE yang baharu dan juga bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Sheikh Mohamed pula telah melakukan lawatan khas ke Malaysia atas persilaan peribadi Seri Paduka bersempena dengan Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.
Keakraban Seri Paduka dan Sheikh Mohamed telah terjalin sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu lebih 40 tahun lalu di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom di mana kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di akademi tersebut pada 1978 dan 1979 dan persahabatan mereka terjalin hingga kini. – BERNAMA