SHAH ALAM – Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar hari ini hadir di Balai Polis Shah Alam (IPD) untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya agar presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak diganggu.
Katanya, berikutan kenyataan itu, ada pihak dari Kerajaan Perpaduan telah membuat laporan polis kononnya beliau turut bersengkongkol dengan Presiden Pas mengenai dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan ejen Israel.
“Hari ini saya dipanggil untuk beri keterangan mengenai kenyataan saya agar Presiden Pas tidak diganggu. Keterangan ini diambil kononnya saya dan Presiden Pas ada mengeluarkan kenyataan menuduh Anwar ejen Israel.
“Sedangkan sehingga hari ini tidak ada pun mana-mana pihak dapat membuktikan apatah lagi mengesahkan Abdul Hadi ada mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
“Selain Abdul Hadi dan saya, Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad juga turut disiasat. Sedangkan, Hassan tidak menyebut demikian,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Shah Alam di sini hari ini.
Beliau ditemani peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang memberi keterangan hampir dua jam dari pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.
Sementara itu Ahmad Amzar berkata, keterangannya diambil oleh pegawai penyiasat Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam dan mengucapkan terima kasih kepada polis kerana memberi layanan yang baik.
“Anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya dan kami menunggu tindakan lanjut daripada pegawai penyiasat sama ada akan panggil semula atau angkat kertas siasatan itu Pendakwa Raya.
“Selain keterangan, telefom bimbit anak guam saya juga diambil oleh polis untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette