Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang menghalangnya daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta kerana saman SRC International Sdn Bhd (SRC) terhadapnya.

Untuk makluman, injuksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang seseorang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes saman sivil.

Keputusan hari ini yang dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM15,000.

Kata Yaacob dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injuksi Mareva itu sebelum ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melarang Najib daripada mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga pada nilai AS$681,000,000.

Beliau juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Seandainya Najib memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam saman itu.

Jika tiada kebenaran bertulis diberikan, Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah. – MalaysiaGazette