Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) diiringi Ketua Setiausaha (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib (dua kiri) mengimbas kad perakam waktu simbolik belum memulakan tugas di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Pengumuman mengenai pelantikan timbalan menteri di dalam 28 kementerian akan diketahui dalam masa terdekat.

Proses perbincangan mengenai calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan itu sedang dilakukan kerajaan ketika ini, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Pelantikan anggota Jemaah Menteri termasuk timbalan (menteri) adalah proregatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Saya rasa perbincangan aktif sedang dilakukan dan berita baik akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Terdahulu Kor Ming yang memulakan tugas baharunya di KPKT dengan mengimbas kad perakam waktu kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.

Pada Sabtu lepas, Kor Ming antara 28 Menteri yang hadir ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia setelah terpilih mengganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Istiadat DiRaja itu dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada Sabtu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast