PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui berlaku sedikit kesilapan ketika membuat hantaran mengenai rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di laman Facebooknya kelmarin.
Isu kerjasama PH dan BN yang dikatakan sudah terjalin sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu telah mencetuskan reaksi tidak selesa dalam kalangan pengundi PH yang pada awalnya tidak bekerjasama dengan BN.
Menteri Dalam Negeri itu mengakui susunan ayat bagi hantaran itu kurang tepat menyebabkan berlaku sedikit kekeliruan kepada pembaca mentafsir perspektif sebenar berhubung rundingan kerjasama yang dijalinkan itu.
Setiausaha Agung PKR itu mengaku hantarannya tidak tepat sehingga mengelirukan pembaca dan menegaskan kerjasama itu hanya berlaku selepas PRU15.
“Namun sebenarnya, hubungan peribadi saya dengan watak-watak politik bukan dari gabungan PH itu sudah lama berjalan..dia punya kekeliruan berlaku di situ.
“Jadi perbincangan tentang penubuhan kerajaan baharu itu adalah selepas PRU15. Tetapi dari segi hubungan peribadi yang membantu memudahkan rundingan PH dan BN ia tak bermula 19 November lalu selepas mengetahui keputusan jam 10 malam dan waktu itu nak cari gabungan.. itu tidak begitu.
“Kedudukan saya waktu itu ada kelebihan kerana saya punya hubungan cukup akrab dan sudah lama terjalin dengan blok bukan PH yang kebetulan itu merupakan kepimpinan utama parti.
“Jadi, saya letak beberapa nama dalam hantaran di Facebook tetapi setengah media menganggap dan memilih bahawa kononnya perundingan itu berlaku sebelum PRU dan di sini saya kena baiki balik susunan ayat saya itu nanti dalam satu posting kelak untuk memudahkan mesej tepat sampai kepada pengikut dan pembaca FB agar mudah difahami jelas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada media kerana bertanya dan membantunya memberikan perspektif lebih tepat mengenai kenyataannya itu.
Menurut beliau, kerjasama perbincangan adalah berlaku selepas keputusan PRU15 selepas menyaksikan tidak ada blok parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri.
“Jadi, apa kami buat, beberapa kaedah dipertimbangkan antaranya apakah PH nak kekal jadi pembangkang untuk lima tahun akan datang dan membiarkan pihak lain yang mengumpul majoriti membentuk kerajaan Pusat atau kita leverage atau menggunakan kelebihan angka 82 yang dimiliki untuk mendekati dengan komponan lain,” ujarnya.
Terdahulu, beliau tiba ke kementerian pukul 9.25 pagi untuk mengimbas wajah dan kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugasnya sebagai Menteri KDN.
Kemudian beliau telah menghadiri taklimat lebih dua jam bersama Ketua Setiausaha LDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz.
Saifuddin telah mengangkat sumpah sebagai senator pada pagi Sabtu di Parlimen sebelum mengangkat sumpah dan watikah pelantikan sebagai Menteri KDN di Istana Negara di sebelah petang.- MalaysiaGazette