PUTRAJAYA – Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memulakan tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri di sini pagi ini.
Terdahulu Setiausaha Agung PKR itu telah tiba pukul 9.25 pagi dan telah disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud di lobi blok D1, kementerian tersebut.
Kemudian beliau naik ke tingkat 12 mengimbas wajahnya di terminal kehadiran dan juga kad perakam waktu tepat pukul 9.30 pagi tadi sebagai tanda simbolik memulakan tugasnya sebagai menteri.
Selepas itu beliau ditemani KSU dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sany hadir ke taklimat bersama warga KDN sebelum dijangka mengadakan sidang media.
Pada pagi Sabtu lalu, Saifudin telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dan menerima watikah pelantikan sebagai Menteri KDN daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 5 petang.- MalaysiaGazette