Sean Eugene Selvaraj (kanan).

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk bersama Negeri Sembilan FC musim ini memberikan detik bermakna kepada penyerang, Sean Eugene Selvaraj, yang melihat kariernya sedikit pulih selepas berjaya mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Paling bermakna, dia berpuas hati kerana mampu membantu skuad Hobin Jang Hobin menamatkan musim 2022 di tahap membanggakan apabila menduduki tempat ke-4 Liga Super.

Jika khidmatnya terus ditagih untuk musim depan, dia berharap mampu meletakkan Negeri Sembilan berada pada tahap lebih baik serta kekal menjadi pencabar kejuaraan.

“Musim depan pasti lebih mencabar untuk Negeri Sembilan kerana selepas menduduki tempat keempat di liga, kami pasti akan diberi perhatian serius oleh semua pencabar.

“Mungkin pasukan ada sasaran untuk berada lebih baik atau mampu kekalkan kedudukan seperti musim ini tetapi tekanan pasti tinggi.

“Untuk musim 2022, saya rasa secara keseluruhan sangat berpuas hati kerana sekali lagi dapat membuktikan diri ini apabila diberi peluang untuk bermain.

“Musim depan jika terus bersama Negeri Sembilan, saya harap mampu tampil lebih cemerlang berbanding musim ini selain cuba meraih perhatian untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Sepanjang musim ini, Sean bermain dalam 13 perlawanan untuk Negeri Sembilan dengan dua daripadanya bermula dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 26 tahun ini menjaringkan tiga gol buat Negeri Sembilan namun jaringannya semasa berdepan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 31 Julai lalu paling mencuri tumpuan.

Menyentuh tahap kecederaan, Sean yang terlepas saingan TM Piala Malaysia ekoran perlu menjalani pembedahan di bahagian meniskus, dia berkata semakin hampir pulih dan boleh menjalani latihan sebaik musim baharu bermula.

“Saya dinasihatkan doktor untuk berehat enam minggu dan tinggal dalam satu dan dua minggu sahaja lagi sebelum saya boleh berlatih seperti biasa.

“Memang sedikit rasa sedih kerana kecederaan ini buatkan saya tidak boleh bantu pasukan pada Piala Malaysia malah terlepas peluang untuk dipanggil dalam pasukan kebangsaan.

“Harap saya boleh sembuh sepenuhnya sebelum hadapi permulaan musim baharu ini dan mampu terus berbakti untuk Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast