Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Tindakan pendakwaan kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memasukkan rakaman audio perbualan sebagai bahan bukti dibantah pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu.

Audio rakaman yang melibatkan perbualan antara Najib dengan seseorang dipanggil Yang Mulia (Your Highness) dikatakan kerabat diraja Arab didedahkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya pada 8 Januari 2020.

Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, rakaman audio rakaman yang diperolehi itu bukan sahaja telah di dedahkan secara tidak sah oleh Latheefa tetapi ia telah didedahkan kepada masyarakat umum  sebelum sampai ke mahkamah.

“Saya katakan SPRM mungkin tidak mematuhi Seksyen 43 Akta SPRM 2009 berhubung cara mendapatkan rakaman audio itu, ini juga telah menyebabkan hak asasi anak guam saya untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil. Ini melibatkan hak perlembagaan seseorang tertuduh.

“Malah audio dan video juga di bawah kategori dokumen, sekaligus bertentangan dengan Akta Keterangan 1950. Sehingga kini SPRM juga telah gagal dedah siapakah yang membuat pintasan perbualan tersebut. Bukankah ini langgar hak dan privasi anak guam kami?

“SPRM tidak boleh merakam perbualan begitu sahaja tanpa patuh pada undang-undangnya. Pendedahan ini juga kemungkinan besar boleh merosakkan hubungan diplomatik sekian lama kerana rakaman ini ternyata satu perbualan peribadi pemimpin nombor satu negara,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib Razak

Semalam Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, rakaman audio itu amat relevan bagi menyangkal pembelaan tertuduh.

Sri Ram mendakwa ramai pesalah rasuah akan terlepas seandainya pihak pendakwaan terpaksa membuktikan setiap dokumen mengikut peruntukan ketat yang terkandung dalam Akta Keterangan 1950.

Jelas beliau, tindakan pendakwaan untuk mendakwa pesalah mengikut peruntukan ini mungkin terhalang terutama pada zaman moden apabila transaksi membabitkan jutaan ringgit boleh dilakukan secara elektronik dengan sekelip mata.

Sebelum ini, rakaman itu telah dimainkan dalam mahkamah ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, memberi keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan kedengaran seperti Najib.

Dalam rakaman itu terdapat perbualan mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perbicaraan 1MDB yang sepatutnya bersambung petang ini dengan sesi soal balas saksi pendakwaan Joanna Yu terpaksa di tangguh esok.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast