PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jaminan tiada perubahan drastik dilakukan terhadap program berkaitan pemerkasaan Bumiputera yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau berkata, pihaknya akan memberi fokus terhadap usaha memastikan setiap perkara dirancang dapat dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan.
“Apa yang saya cakap sebelum ini, selalunya perancangan baik dan kita perlu pastikan ia betul-betul dilaksanakan dan capai matlamat.
“Kami ingin memastikan setiap satu ringgit dibelanjakan dan setiap rancang bertujuan untuk membebaskan mana-mana pihak daripada kemiskinan, sama ada anda bumi (bumiputera) atau tidak, ia dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kajian Separuh Penggal RMK12, di sini, hari ini.
RMK12 yang turut meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera pada masa sama menyasarkan pertambahan sumbangan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kumpulan itu kepada 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Usaha itu disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu seperti dana Kemakmuran Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi kontraktor bumiputera.
Mengulas lanjut, Rafizi menambah, beberapa pengubahsuaian dalam RMK12 dengan mengambil kira cabaran global.
“Terdapat beberapa kekangan dan terdapat juga peluang dan RMK12 adalah satu kerja yang berterusan selagi kita pantas dari segi menangani cabaran dan melakukan pelaksanaannya dengan teliti.
“Kita harap ia akan dapat untuk mencapai kebanyakan objektifnya walaupun tidak semua,” katanya. – MalaysiaGazette