KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan notis tuntutan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon maaf tanpa syarat berhubung video berbaur fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Tetuan SN Nair & Partners, yang mewakili Anwar, 75, menghantar notis tuntutan itu hari ini.
Menurut Datuk SN Nair, anak guamnya menuntut Muhyiddin menarik balik video ucapan semasa ceramah Grand Finale PN Padang Serai mengenai Anwar di aplikasi TikTok di bawah nama @beritakini8, perkataan-perkataan memfitnah selain memadam atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.
“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Notis tuntutan itu mendakwa pada 5 Dis lepas, Muhyiddin mengungkap atau menyebabkan penerbitan video tersebut yang telah mendapat tontonan lebih 1,100,000 kali, lebih 6,061 komen, melebihi 21,400 butang ‘like’, lebih 1,360 kali butang ‘favourite’ dan 2,169 kali perkongsian setakat tarikh notis berkenaan.
Peguam itu berkata video tersebut dibuat dengan niat jahat terhadap anak guamnya, tidak benar dan terdapat penyelewengan fakta yang menunjukkan ketidakwajaran moral serta undang-undang selain untuk mencari publisiti murahan bagi tujuan politik serta manfaat proses pemilihan dalam usaha memenangi undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai.
Nair berkata video dan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, licik dan menggunakan taktik kotor selain tidak beretika serta mengkhianati mandat rakyat.
Katanya keseluruhan video dan perkataan memfitnah itu telah disangkal oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli melalui kenyataan media hari ini menerusi akaun Facebook beliau atas nama ‘Juwairiya Zulkifli’ dan ia dipetik dalam artikel Free Malaysia Today bertajuk Anwar hanya terima RM1 jadi penasihat ekonomi Selangor.
Nair ketika dihubungi mengesahkan telah menghantar notis tuntutan itu kepada Muhyiddin melalui serahan tangan.
— BERNAMA