KUALA LUMPUR – Hantaran bertajuk ‘Pengiktirafan UEC akan dibincangkan dan usul akan diluluskan kelak oleh Kerajaan Perpaduan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan’, yang ditularkan menggunakan akaun Twitter Anwar Ibrahim adalah palsu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam hantaran di Facebook turut menunjukkan perbezaan antara akaun Twitter Perdana Menteri yang sebenar dengan akaun palsu yang digunakan untuk menularkan hantaran tersebut.
“Maklumat melalui akaun media sosial tersebut adalah palsu. Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” menurut JPM.
JPM turut meminta orang ramai supaya merujuk kepada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri untuk berita sahih di semua platform media sosial akaun iaitu Facebook Anwar Ibrahim, akaun Twitter @anwaribrahim, Instagram @anwaribrahim_my dan TikTok @anwaribrahimnofficial. – MalaysiaGazette