MELAKA – Seorang peniaga buah potong berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya April lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun yang sudah berkahwin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba payudara kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut, meraba payudara dan memasukkan jari ke bahagian sulit mangsa sama yang ketika itu berusia 17 tahun.

Kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Tambak Bugis, Bukit Lintang, dalam daerah Melaka Tengah di sini antara Jun 2021 hingga April lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh sudah berkahwin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah sepupu kepada isteri tertuduh namun mencadangkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan sekiranya dipertimbangkan mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dalam rayuannya memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga buah potong sambil dibantu isterinya dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Selain itu, katanya, tertuduh juga perlu menjaga ibu bapa mentua yang merupakan orang kurang upaya (OKU) namun bersedia dengan syarat tambahan ditetapkan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta syarat tambahah tertuduh dan keluarganya tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mohd Sabri kemudian menetapkan tarikh 9 Januari depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast