PUTRAJAYA – Proses mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sedang berjalan lancar setakat 11 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merangkap Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan dan masalah di kedua-dua tempat mengundi itu.
Beliau percaya pengundi di kedua-dua kawasan itu sudah matang dan berdisiplin menghadapi situasi hari mengundi, justeru tiada sebarang kekecohan atau insiden tidak diingini dilaporkan.
“Keadaan sangat terkawal di dua kawasan Padang Serai dan DUN Tioman yang sedang menjalani proses undi sejak 8 pagi tadi.
“Malah, anggota yang ditugaskan di dua lokasi pengundian itu juga mencukupi malah, kami turut sediakan pasukan sokongan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini,” kata beliau ketika ditemui pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Misi Bencana Banjir oleh 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. berjumlah RM490,000 berupa bot penyelamat dan jaket keselamatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini pagi tadi.
Hari ini, seramai 132,955 orang bakal mengundi di Parlimen Padang Serai dan 28,108 pengundi kerusi DUN Tioman.
Proses mengundi yang sepatutnya diadakan pada 19 November lalu telah ditangguhkan selepas calon Pakatan Harapan di Padang Serai dan Calon Perikatan Nasional di Tioman meninggal dunia akibat masalah jantung. -MalaysiaGazette