Dr. Sharmila Mohamed Salleh menunjukkan demonstrasi salah satu produk inovasi sosial kepada Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim (kanan sekali) semasa Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Bera baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sains dan teknologi sering dikaitkan dengan masyarakat bandar serta para ilmuan menyebabkan penduduk di luar bandar sering berasa tersisih daripada perkembangan bidang tersebut.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggerakkan insiatif Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di daerah terpilih seluruh negara yang sehingga kini telah menjangkau 15,000 penduduk luar bandar.

STIE yang digerakkan Yayasan Inovasi Malaysia atau YIM menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat terutamanya golongan pelajar, ibu bapa tunggal, peniaga kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula (start-up), koperasi, badan bukan kerajaan dan individu dengan bidang sains dan teknologi.

Mengulas inisiatif tersebut, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, kejayaan dan maklum balas positif daripada komuniti setempat mendorong kementerian meluaskan program pembangunan Ruang Reka STIE pada tahun ini dengan hasrat untuk mendekatkan komuniti luar bandar dengan sains dan teknologi.

“MOSTI memberi peluang kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi dan melakukan aktiviti yang kurang dapat diakses sebelum ini untuk menjana pendapatan masyarakat setempat berasaskan ekosistem 10-10 STIE meliputi Perkongsian dan Pemadanan Perniagaan Bertaja/Rangkaian Ekonomi,” katanya dalam temu bual.

Menurut Aminuddin, setakat 30 November lalu sebanyak tujuh Ruang Reka STIE telah dibangunkan dan enam lagi dijangka siap pada penghujung tahun ini iaitu:

i. Ruang Reka STIE Balairaya Taman Rasa Sayang Paroi, Negeri Sembilan;
ii. Ruang Reka STIE PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu, Terengganu;
iii. Ruang Reka STIE Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, Kota Tinggi, Johor;
iv. Ruang Reka STIE Pusat Komuniti Desa Layang-layang, Kluang, Johor;
v. Ruang Reka STIE Kampung Laut, Tumpat, Kelantan;
vi. Ruang Reka STIE Langkawi, Kedah; dan
vii. Ruang Reka STIE Felda Bukit Puchong, Bera, Pahang.

Menurut beliau, enam lagi Ruang Reka STIE dijangka siap pada penghujung tahun ini melibatkan kawasan di Sabak Bernam, Sandakan, Miri, Kuala Kangsar, Melaka dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, Ruang Reka STIE yang mula dibangunkan pada 2021 turut menggunakan pendekatan mampan menerusi kaedah quintuple helix yang melibatkan gabungan kerjasama antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, pendekatan quintuple helix akan memastikan kelestarian program dengan penglibatan semua pihak agar komuniti dapat memanfaatkan sains dan teknologi.

Sharmila yakin, kewujudan Ruang Reka STIE akan melahirkan komuniti inovator yang dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan untuk dikomersialkan sekali gus membantu negara menangani masalah pengangguran dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Makmal Komputer, Teknologi Virtual Reality (VR) dan pencetak 3D antara kelengkapan yang disediakan di Ruang Reka STIE Tumpat, Kelantan.

“Ruang Reka STIE dilengkapi peralatan dan aplikasi STIE untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kemahiran serta menyediakan ruang praktikal kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi,” ujar Dr. Sharmila.

Ruang Reka STIE dilengkapi kemudahan seperti makmal reka bentuk, makmal komputer, sudut inovasi, studio digital dan ruang latihan yang boleh digunakan secara percuma.

Untuk menjayakan inisiatif tersebut YIM bekerjasama dengan pemegang taruh seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Lembaga Pembangunan Langkawi, Majlis Daerah Tumpat, Kelantan; Majlis Daerah Sabak Bernam, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan ramai lagi.

Makmal Komputer yang disediakan di Ruang Reka STIE Langkawi

Ia memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya golongan pelajar, belia, peniaga kecil dan sederhana serta syarikat pemula untuk menjadi lebih celik terhadap teknologi terkini, selain dapat menjana pendapatan.

MOSTI juga akan menambah lebih banyak modul pengajaran dan latihan menerusi 70 modul antaranya 3D Printer di Makmal Reka Bentuk seperti Creality Ender-3 V2 UA UK Plug, Ender-3 V2 FDM 3D Printer Properties, penyuntingan video promosi di Studio Digital, Programming TTGO, Arduino serta penyuntingan dengan menggunakan aplikasi CANVA di Makmal Komputer, Teknologi Virtual Reality (VR), kawalan dan penjagaan dron.

Ruang Reka STIE juga dapat memberi peluang kepada belia yang mempunyai minat yang tinggi terhadap kemahiran praktikal berkenaan teknologi dan keusahawanan yang boleh menggarap potensi diri mereka melalui pembelajaran tidak formal.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast