Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil ketika bercakap pada sidang media khas selepas selesai mesyuarat pasca kabinet Kementerian Komunikasi Digital di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Sebanyak 2,113 video yang berunsur provokatif serta ekstremis dipadamkan secara automatik oleh penyedia aplikasi TikTok sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga 26 November lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 857 video dipadamkan sepanjang kempen bermula 12 hingga 18 November manakala 130 rakaman turut dikekang ketika hari pengundian pada 19 November lepas.

“Selepas pasca PRU15 bermula 20 hingga 26 November, sebanyak 1,126 video dikekang secara automatik bersandarkan sistem kecerdasan buatan (AI) TikTok.

“Pada masa sama maklumat diterima bagi 1 Januari hingga 5 Disember, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga telah berikan sejumlah aduan kepada TikTok untuk turunkan video dan daripada 202 video yang dimohon.

“Sebanyak 95 diturunkan kerana melanggar garis panduan komuniti manakala, 28 video pula dipadamkan kerana langgar undang-undang negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Fahmi berkata, sebanyak 1,000 bahan kandungan video yang didapati bersifat provokatif dan ekstrem sepanjang PRU15 dipadam TikTok selepas menerima aduan SKMM dan beberapa badan dan agensi lain.

Selain aplikasi TikTok, Fahmi berkata, pihaknya akan meneliti undang-undang sedia ada terhadap pengusaha platform media sosial agar peraturan itu lebih responsif terhadap permohonan serta permintaan daripada pihak berkuasa.

Malah beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan kajian dengan lebih terperinci demi menilai langkah yang perlu dilakukan bukan untuk kerjasama lebih erat namun, dengan undang-undang lebih tegas.

“Kita mahu lihat pengurangan kandungan yang bersifat provokatif, khususnya berkaitan 3R iaitu Raja-Raja Melayu, isu agama dan perkauman.

“Ini antara (perkara) yang akan kita usahakan (dalam meneliti undang-undang sedia ada),” katanya.

Selain itu Fahmi berkata, pada masa sama pasukan khas yang ditubuhkan menangani berita palsu pada 1 Disember lalu akan memberi penekanan kepada aspek komunikasi terutama pengurusan menangani berita palsu.

“Pasukan ini juga akan memantau hantaran berita palsu yang dilihat mempunyai kesan negarif kepada ekonomi, sosio budaya, agama dan keselamatan dan memberi penjelasan kepada awam.

“Hasil pemerhatian, tempoh antara Perdana Menteri mengangkat sumpah hingga terbentuk Kabinet itu adalah waktu paling kritikal, banyak sebaran berita palsu ketika itu, dengan adanya Task Force ini akan membantu untuk mengekang penyebaran berita palsu dengan lebih proaktif,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast