Rahmah (kanan) menunjukkan dakwat kekal pada jarinya sebaik selesai mengundi di pusat mengundi SK Bukit Selarong bagi Parlimen Padang Serai hari ini.

KULIM – “Sudah 10 kali saya tunaikan tanggungjawab mengundi dan tak pernah timbul rasa bosan untuk datang ke pusat mengundi meskipun umur sudah 78 tahun,” kata Rahmah Saat.

Rahmah yang hadir ditemani cucnya, Noraishah Musa, 41, berkata, dia teruja setiap kali pilihan raya hingga sanggup keluar awal bagi memastikan proses pengundiannya berjalan lancar.

“Setiap kali pilihan raya, saya tidak pernah terlepas menunaikan tanggunjawab sejak muda lagi. Saya sudah lupa, tetapi mungkin lebih 10 kali.

Rahmah.

“Saya tak dapat tidur lena malam tadi kerana teruja untuk memangkah calon yang diinginkan.

“Walaupun seorang warga emas, saya percaya satu undi saya ini juga akan menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Dia berkata demikian sebaik selesai mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selarong di sini, hari ini.

Sementara itu, penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor, Muhammad Akmar Danial Shariff, 20, berkata, dia keluar awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.

Muhammad Akmar.

“Ia satu perasaan bercampur baur kerana saya harap pilihan saya ini adalah suatu yang tepat demi masa depan negara.

“Peluang yang diberikan kepada orang muda perlu direbut kerana kita boleh jadikannya sebagai pengajaran untuk memilih wakil rakyat berikutnya yang lebih baik,” katanya.

Parlimen itu menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Sreanandha Rao (Bebas), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional)

Bagaimanapun, calon Warisan dan BN menarik diri lebih awal bagi menyatakan sokongan kepada calon PH.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M. Karupaiya, meninggal dunia pada 16 November lalu akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette