KUALA LUMPUR – Penggunaan dana negara sebanyak RM600 bilion tanpa dimaklumkan butiran perbelanjaannya kepada umum disifatkan sebagai skandal terbesar dalam sejarah Malaysia.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, jumlah itu mengatasi skandal 1MDB berjumlah RM42 bilion yang dimainkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.
“Wang RM600 bilion ini lebih besar dari skandal 1MDB. Saya ingat lagi (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kata dia tak boleh bayang skandal 1MDB RM42 bilion itu banyak mana. Itu RM42 bilion, ini RM600 bilion, berapa belas kali ganda dari 1MDB.
“Apabila mereka berbelanja besar pada PRU15 tempoh hari, maka kita terfikir adakah sebahagian daripada RM600 bilion ini digunakan sebagai dana pilihan raya mereka?,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Jawab, Saya Tanya – Kerajaan Perpaduan – Di sebalik Yang Tersurat dan Tersirat siaran NRChannelTV di sini, malam tadi.
Isham turut menyatakan, ada dua faktor kemenangan 73 kerusi Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu, antaranya kempen mereka kononnya parti itu bersih dan stabil.
Katanya, pada masa sama mereka mengutuk Barisan Nasional (BN) kononnya tidak bersih, rasuah dan sebagainya.
“Cuma, selepas ini rakyat akan tahu sama ada PN ini benar-benar bersih atau sebaliknya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan korek isu dana RM600 bilion ini.
“Kedua, mengenai duit, kita tengok banyak kawasan kita, kawasan akar umbi kita, kubu kuat kita tiba-tiba kalah sampai majoriti 23,000 dan maklumat yang kita dapat mereka bagi tunai kepada pengundi. Ini yang perlu disiasat.
“Ini selaras dengan apa yang saya tengok, PN kali ini memang berbelanja mewah. Sumber duit pun kita terkejut, mana mereka dapatkan ini, bila kita tanya mereka tidak dapat jawab,” katanya.
Kata Isham lagi, pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan pun mengakui ada isu penyalahgunaan kuasa mengenai pelaksanaan, tatakelola atau macam mana dana RM600 bilion itu digunakan.
“Anwar juga ada menyatakan, ada satu kes yang mana ada projek itu dibahagikan kepada syarikat berkenaan dengan keluarga bekas Perdana Menteri kelapan semasa negara diisytiharkan darurat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebelum ini, UMNO sudah tanya, tapi tidak disiasat. Mungkin pihak kuasa ada kekangan dan sebagainya ketika itu. Sekarang, PN bukan kerajaan dan tidak ada lagi kekangan,” katanya. – MalaysiaGazette